19 Disember 2011

Sebaik-baik Nafkah

Dari Tsauban r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

”Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fi sabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fi sabilillah.”
 
 (Hadis Riwayat Muslim) 


Huraian
 
   Firman Allah yang maksudnya:”Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah! Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahun-Nya.”(al-Baqarah: 261) Sememangnya harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. 
   
   Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi.Orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak harus bersikap tamak dalam mengumpulkan harta tetapi hendaklah membelanjakannya ke jalan Allah dan yakin dengan janji Allah tentang rezekinya. 

   Sejarah banyak menceritakan tentang sikap orang-orang beriman terhadap harta. Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a contohnya, menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit untuk menguruskan keperluannya, beliau menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku.” 

  Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah SWT. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijual dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. 
   
  Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian sebagai belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin. Oleh itu sesiapa yang menguruskan harta perlulah menjalankan amanah Allah SWT dan menafkahkannya atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.

Hadis > Akidah > Akhlak > Sebaik-baik Nafkah

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

16 November 2011

Menyembunyikan Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.”

(Hadis Riwayat Abu Daud & At-Tirmidzi )



Huraian

1. Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Allah S.W.T telah berfirman: "... nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." (Al Mujaadalah [58]:
 
2. Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan
 

3. Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.

Hadis > Akidah > Akhlak > Menyembunykan Ilmu 

Kesan Istigfar

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.” 

(Hadis Riwayat Abu Daud )


Huraian

1. Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda merupakan seorang rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil.
 
2. Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadnya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.
 
3. Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku.

Hadis > Ibadah > Akidah > Kesan istighfar 

Berkumur Sebelum Solat

Diriwayatkan daripada Suwaid bin al-Nu’man r.a:

   "Pada tahun terjadinya perang Khaibar aku pergi bersama Rasulullah SAW  hingga kami tiba di Shahba, sebuah tempat dekat Khaibar, tempat Rasulullah SAW mengerjakan solat Asar dan meminta makanan. Tidak ada makanan lain kecuali sawiq.  
Nabi SAW menyuruh mencucinya terlebih dahulu. Kami semua memakannya dan tidak lama kemudian Nabi SAW berdiri untuk solat Maghrib, berkumur-kumur dan kami mengerjakan hal yang sama lalu mengerjakan solat dengan tidak mengulang wudhu’.”

 (Hadis Riwayat Al-Bukhari) 


  
Huraian
 
   Makan dan minum bukanlah perkara yang membatalkan wudhu’ tetapi ia adalah perkara yang membatalkan sembahyang jika berlaku dalam sembahyang. Justeru bagi sesiapa yang mengambil makanan dan ingin mengerjakan solat dengan wudhu’ yang sedia ada digalakkan untuk berkumur terlebih dahulu sebagai langkah pembersihan mulut iaitu jika tidak berkesempatan memberus gigi kerana memberus gigi adalah cara yang terbaik untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi. 
  
  Rasulullah SAW dalam hal ini pernah bersabda yang maksudnya “Sekiranya tidak memberatkan umat ku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak (memberus gigi) setiap kali ingin bersolat.” (Bukhari) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Bukhari).

Hadis > Ibadah > Solat 

3 Oktober 2011

Diseru Pintu Syurga

Hadis > Akidah > Usuluddin > Pintu Amal Kebajikan

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : 

“Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah.  
Maka berkatalah Abu Bakar: 
 “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.” 

(Hadis Riyawat Al-Bukhari & Muslim)


 Huraian

    Sesiapa yang melakukan amal kebajikan dalam apa jua bentuk maka di akhirat kelak seluruh pengawal-pengawal pintu syurga, masing-masing mempersilakan masuk orang-orang yang melakukan amal kebajikan ini melalui pintu yang dijaga mereka dan ada juga segolongan orang yang mendapat penghormatan untuk memasuki kesemua pintu-pintu kebajikan.

Tukang Tilik

Hadis > Akidah > Akhlak > Larangan Mempercayai Tukang Tilik

Dari Aisyah r.a katanya:

"Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih." 

(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian
 

1. Tukang tenung dikenali juga dalam masyarakat hari ini dengan istilah ‘orang pintar’, paranormal ataupun tukang ramal nasib yang dipercayai dapat mengetahui nasib seseorang atau perihal ghaib lainnya.
 

2. Sesungguhnya pengetahuan terhadap perkara ghaib adalah termasuk hal yang menjadi rahsia Allah. Sesiapa yang berkeyakinan bahawa dirinya atau orang lain boleh menguasai perkara ghaib adalah termasuk dalam perbuatan syirik kerana adanya ketergantungan kepada yang selain Allah.
 

3. Allah telah berfirman yang maksudnya:”Katakanlah,"Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah", dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan. (an- Naml : 65).
 

4. Sebagai umat Islam kita tidak harus mempercayai atau membenarkan apa yang dikatakan oleh tukang ramal kerana sesuatu yang mereka katakan mengenai hal-hal yang ghaib itu hanya didasarkan atas perkiraan belaka, atau dengan cara mendatangkan jin-jin untuk meminta pertolongan kepada jin-jin tersebut sesuai dengan apa yang mereka inginkan.
 

5. Rasulullah SAW bersabda : 'Sesiapa yang mendatangi 'arraaf' (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama empat puluh hari." (Muslim).

Kemurkaan Allah

Akidah > Akhlak > Bersua Dalam Murka

Dari Abdullah r.a katanya,:

Rasulullah s.a.w bersabda:"Siapa yang mengambil harta orang Islam dengan sumpah palsu, nescaya orang itu akan menemui Allah sedangkan Allah marah kepadanya."

(Riwayat Hadis Al-Bukhari)


Huraian
 
   Manusia, apapun perbuatannya, pasti akan bertemu dengan Allah S.W.T. Perjalanan menuju Allah, bukanlah perjalanan biasa sebagaimana perjalanan lahiriah dari satu tempat ke tempat lain. Perjalanan menuju Allah memerlukan persiapan dan bekalan yang cukup. Manusia yang baik amalannya akan menemui Allah dalam keadaan yang cukup selesa dan bahagia, sebaliknya pula orang yang buruk amalannya semasa di dunia. Mereka bakal menemui Allah dengan perasaan gerun dan takut. 
   
   Sesungguhnya Allah S.W.T amat murka terhadap sesiapa sahaja yang melakukan dosa dan kejahatan kerana ia merupakan perbuatan yang melambangkan penentangan terhadap perintah-Nya. Justeru, tidakkah kita merasa malu jika di akhirat kelak kita datang menghadap Tuhan tetapi dalam keadaan diri bergelumang dengan dosa dan kehinaan. Maka untuk mengelaknya jadikanlah hidup kita bermakna di dunia dan bererti di akhirat, kenanglah wajah Allah yang senantiasa kita harap untuk dapat melihatnya di syurga kelak sebagai balasan dari pemanfaatan hidup kita di maya pada ini. 

1 Oktober 2011

Bersyukur

Hadis > Akidah > Usuluddin > Bersyukur
 
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

 “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.”

(Riwayat Hadis At-Tabrani)


Huraian
 
Pengajaran Hadith:
 
i) Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang.
 
ii) Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.
 
iii) Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.

iv) Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah kerana tujuan seseorang itu diambil berkhidmat adalah untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya ia dapat memberikan khidmat yang memuaskan kepada orang ramai dan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.

Anak Kunci Syurga


Hadis > Ibadah > Solat > Dua Waktu Yang Perlu Diawasi
Dari Jabir r.a , katanya: Rasul s.a.w bersabda: 

“Anak kunci syurga ialah sembahyang….” 

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)


 Huraian
 
1. Syurga adalah destinasi terakhir perjalanan hidup seseorang
 
2. Solat 5 waktu selain solat sunat adalah amal soleh yang melayakkan memasuki syurga selain mengucap 2 kalimah syahadah
 
3. Jadi, jagalah solat sebaik mungkin dan nasihatlah kepada keluarga agar tidak lalai daripada mengerjakannya walau sesibuk mana kerja kita di dunia ini.

Galakan Berdoa

Hadis > Akidah > Akhlak > Galakan Berdoa

Hadith : 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Doa itu ialah ibadat.”

(Hadis Riwayat Bukhari)



Huraian
 
1. Doa adalah Istiksaat (memohon pengampunan dan pertolongan) dan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat memberikannya.
 
2. Orang yang berdoa hendaklah melahirkan kehinaan dan kerendahan diri serta menyatakan hajat dan tunduk kepada Allah sebagai menunjukkan bahawa kita berhajat kepada Allah untuk memperolehi sesuatu yang kita kehendaki.
 
3. Doa adalah suatu ibadat yang sangat penting kedudukannya dan sangat mahal nilainya bahkan ia adalah pintu yang paling utama daripada pintu-pintu ibadah yang lain dalam meperhambakan diri kepada Allah.
 
4. Apabila seseorang itu berdoa maka hendaklah ia melakukannya dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab-adabnya. Dengan itu barulah doanya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. 

Kemuliaan Perempuan

Hadis > Akidah > Akhlak > Kemuliaan Perempuan 

 Daripada Aisyah r.a, dari Nabi S.A.W baginda telah bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Tirmidzi)


Huraian
 
1. Perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.
 
2. Kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.
 
3. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.
 
4. Kata orang ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’. Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.
 
5. Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

27 September 2011

Adab Ketika Minum

Hadis > Akidah > Akhlak > Adab Ketika Minum 

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:

"Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali, membaca bismillah bila mula minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai."

( Riwayat At-Tirmidzi )


 Huraian
 
1. Islam mementingkan adab dan sopan dalam segala perkara termasuklah makan dan minum.
 
2. Ketika makan kita ditegah daripada gelojoh begitu juga ketika minum hendaklah minum dengan perlahan dan jangan bernafas dalam bekas minuman serta dilarang juga minum sambil berdiri. Semua ini kerana mengambilkira faktor kesihatan dan kebersihan disamping dapat mencerminkan tatatertib yang sopan bagi seorang Islam.
 
3. Mengecap rezeki yang dimakan atau diminum sebaik-baiknya ialah dengan membaca bismillah sebagai memuji Allah S.W.T yang mengurniakan rezeki dan mengucapkan alhamdulillah sebagai mensyukuri nikmat yang telah diberikan itu.

Larangan Meminta-Minta Mati

Hadis > Akidah > Akhlak > Larangan Meminta-Minta Mati

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 

“ Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.”

( Riwayat Bukhari & Muslim )

  
Huraian

Pengajaran hadis:

i) Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
 
ii) Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
 
iii) Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.

Tanggungjawab Sosial

Hadis > Akidah > Akhlak > Tanggungjawab Sosial 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya." 

( Riwayat Abu Daud & At-Tirmidzi )


 Huraian
 
1. Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan maksiat dan kekufuran yang dilakukan.
 
2. Membiarkan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat.
 
3. Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya.
 

Berpada-pada

Hadis > Akidah > Akhlak > Berpada-pada 

Dari Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w bersabda :

“Seseorang mukmin belum sempurna imannya hinggalah ia meninggalkan dusta ketika bergurau dan meninggalkan bertengkar sekalipun benar.”

( Riwayat Ahmad & At-Tabrani ) 

  
Huraian
 
1. Bergurau janganlah melampaui batas kesopanan hingga menyakiti atau menghina sehingga menyebabkan dukacita dan sebagainya.
 
2. Banyak bergurau boleh menyebabkan hati seseorang mati dan mengurangkan kehebatan bahkan bergurau dengan cara mengolok-olok, mengumpat, menghina, menjatuhkan maruah boleh mendatangkan dosa sama ada orang yang melakukannya itu menyedarinya ataupun tidak.

3. Selaku seorang Islam kita haruslah berlapang dada (toleransi) dalam menghadapi perbedaan pendapat di mana Islam melarang kita bertengkar hingga menyebabkan timbulnya pertikaian dan saling berhujjah, mengkafirkan atau menganggap yang lain halal darahnya (bunuh-membunuh).

Kepentingan Ilmu

 Hadis > Ibadah > Menuntut Ilmu > Kepentingan Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”

( Riwayat Al-Bazzar )

  
Huraian
 
Pengajaran hadis:
 
i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
 
- Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
 
- Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
 
- Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
 
- Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut 
   jejak langkah mereka.
 
ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
 
iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

Sedekah

Hadis > Akidah > Akhlak > Sedekah 

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
 
“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.”

( Riwayat Ahmad )
 

Huraian
 
Pengajaran Hadith:
 
i) Membantu orang yang tidak berada dan berkongsi menggunakan suatu kemudahan adalah salah satu daripada sifat yang amat dituntut di dalam Islam.
 
ii) Setiap umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam hidupnya sama ada dengan memberikan bantuan tenaga, buah fikiran atau memberikan nasihat yang berguna kepada orang lain di mana semua ini dinilai sebagai sedekah. 

iii) Kategori sedekah yang paling minimum adalah dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang jahat (buruk) di mana dengan cara itu seseorang telah dianggap menyelamatkan masyarakat sekitarnya daripada keburukan dirinya yang boleh membahayakan orang lain.

iv) Bersedekah hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan bukan diiringi dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk (riya’) kerana ini akan menghilangkan pahala bersedekah.

26 September 2011

Amalan Puasa Sunat

Hadis > Akidah > Akhlak > Amalan Puasa Sunat 

Dari Aisyah r.a :

Bersabda Rasulullah s.a.w kepadaku pada suatu hari:"Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )?" Aisyah berkata:"Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan)" Baginda bersabda: "(Jika begitu) maka aku berpuasa"

 ( Riwayat Muslim )
 
Huraian
 
1. Latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan. Sebab itulah orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa.
 
2. Ibadat puasa bukan sahaja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spiritual melalui sifat ikhlas.
 
3. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah SWT. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dan ikhlas dalam diri sendiri dan kepada Allah.
 
4. Di samping puasa wajib kita juga dianjurkan berjinak-jinak dengan puasa sunat lebih-lebih lagi puasa di bulan Rejab dan Syaaban yang banyak sekali kelebihannya di samping dapat membantu meningkatkan kekuatan dan persediaan dalaman sebelum tibanya puasa wajib di bulan Ramadhan.

Batas-Batas Berhias

Hadis > Akidah > Akhlak > Batas-batas Berhias 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah." 
 ( Riwayat Ibnu Mas’ud )
 

Huraian

i) Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.
 
ii) Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.
 
iii) Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan.
 
iv) Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM.
 
v) Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan.

Mentaati Kedua Ibu Bapa

Hadis > Akidah > Aklak > Mentaati Kedua Ibu Bapa
Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: 

“ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
 
 ( Riwayat Al-Hakim )


 
Huraian
 
Pengajaran hadis:
 
i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
 
ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.
 
iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.
 
iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.
 
v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

Kemuliaan Diri Dengan Berakhlak Baik

Hadis > Akidah > Akhlak > Kemuliaan Diri Dengan Berakhlak Baik

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:

 “Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”.

( Riwayat Muslim )
 

 Huraian
 
1. Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain.
 
2. Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya.
 
3. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

3 Kali Lebih Baik

Hadis > Akidah > Akhlak > 3 Kali Lebih Baik

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya :

"Apabila Nabi SAW memberitahu sebuah pernyataan, baginda mengulanginya sampai tiga kali hingga orang ramai dapat memahami dan mengerti perkataannya dengan baik dan setiap kali nabi meminta izin untuk masuk ( ke dalam rumah, ia mengetuk pintu ) tiga kali dan mengucapkan salam."

 ( Riwayat Bukhari ) 

Huraian
   Simbolik tiga kali dalam sesuatu perbuatan bergantung pada situasi dan tempat. Dalam melakukan sesuatu perkara ibadah seperti mengambil wudhu’, kita dikehendaki melakukan pada satu-satu rukun itu sebanyak tiga kali kerana ia adalah lebih baik bahkan termasuk dalam perkara sunat. Malah bagi kebanyakan perkara, perbuatan mengulang-ulang itu dianggap akan menyempurnakan kekurangan yang berlaku sebelumnya daripada langsung tidak melakukannya atau setidak-tidaknya menduakan malah lebih bagus menigakan dan seterusnya. 

   Jika kurang dari tiga kali ditakuti menjadi kurang bermanfaat, khususnya dalam perbuatan mengingat atau menghafal ilmu yang menuntut kita mengulang-ulangnya beberapa kali sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa. Tetapi ada juga berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan lebih dari tiga kali akan mengundang mudarat dan keburukan atau jatuh pada peringkat batal contohnya jika bergerak dengan sengaja lebih dari tiga kali sewaktu dalam solat, solat dianggap batal. 

  Sesungguhnya dalam hal ini Islam menekankan tentang kesederhanaan dan menegah perbuatan melampaui batas. Justeru bilangan 3 kali adalah jalan paling selamat!

Pilihan Terbaik

Hadis > Akidah > Akhlak > Pilihan Terbaik 

 Daripada Aisyah r.a. katanya:

"Rasulullah saw. tidak pernah memilih antara dua perkara melainkan baginda akan memilih yang paling mudah antara keduanya selagi perkara itu tidak mendatangkan dosa. Jika mendatangkan dosa, baginda adalah orang yang pertama menjauhinya. Rasulullah s.a.w juga tidak pernah menuntut sesuatu perkara untuk kepentingan dirinya melainkan dilakukan untuk kesucian agama Allah, maka pembelaan yang dilakukan olehnya adalah semata-mata kerana Allah Taala."

( Riwayat Bukhari & Muslim )


 Huraian

1. Islam adalah agama Allah. Oleh itu kesuciannya hendaklah sentiasa dipelihara dan dimuliakan.
 
2. Segala perkara yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah S.W.T. Oleh itu umat Islam janganlah terburu-buru dalam bertindak apalagi terhadap sesuatu yang remeh-temeh kecuali terhadap perkara-perkara yang menyentuh kepentingan agama.
 
3. Islam memberi kelonggaran kepada umatnya melakukan perkara yang mudah dan senang selagi ia tidak mendatangkan dosa. Sekiranya mendatangkan dosa hendaklah dijauhi dengan apa cara sekalipun.

Kelebihan Sifat Malu

Hadis > Akidah > Akhlak > Kelebihan Sifat Malu 

 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a:

Suatu ketika Rasulullah SAW terserempak dengan seorang Ansar (lelaki) yang sedang menegur saudara lelakinya kerana ia sangat pemalu. Ketika itu juga rasulullah SAW bersabda: "Biarlah dia kerana malu adalah sebahagian daripada iman."

( Riwayat Al-Bukhari ) 

  
Huraian
 
   Dari sudut syarak malu adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif bukan malu tersipu-sipu yang tidak kena pada tempatnya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri ini adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah peribadi. 

   Tetapi al-haya’ (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadian lantaran kuatnya iman dalam menolak segala sesuatu yang negatif. Maka sifat maka itu sendiri adalah sebahagian daripada iman dan terpuji. Sifat malu menjadikan seseorang jauh daripada perbuatan hina dan maksiat sebaliknya meletakkan dirinya dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif. 

   Dia akan berkata bahawa: “ Sesungguhnya aku adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan aku lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”. Dengan perkataan lain seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya.

Kelebihan Bersedekah

Hadis > Ibadah > Akidah > Kelebihan Bersedekah  

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda : 

“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” 

( Riwayat Bukhari )



Huraian
 
1. Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
 
2. Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.
 
3. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
 
4. Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

25 September 2011

Menipu Demi Kebaikkan

Hadis > Akidah > Akhlak > Menipu Demi Kebaikkan

Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar 
Rasulullah SAW bersabda:

"Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik." 

( Riwayat Bukhari ) 

Huraian
 
   Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusah untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.

Sebaik-baik Nafkah

Hadis > Akidah > Akhlak > Sebaik-baik Nafkah

 
Dari Tsauban r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

"Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fi sabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fi sabilillah."

( Riwayat Muslim )


Huraian
 
  Firman Allah yang maksudnya:”Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah! Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahun-Nya.”(al-Baqarah: 261) Sememangnya harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. 

   Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi.Orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak harus bersikap tamak dalam mengumpulkan harta tetapi hendaklah membelanjakannya ke jalan Allah dan yakin dengan janji Allah tentang rezekinya. Sejarah banyak menceritakan tentang sikap orang-orang beriman terhadap harta. Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a contohnya, menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. 

   Apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit untuk menguruskan keperluannya, beliau menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku.” Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah SWT. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijual dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. 

   Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian sebagai belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin. Oleh itu, sesiapa yang menguruskan harta perlulah menjalankan amanah Allah SWT dan menafkahkannya atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.

3 Amalan Yang Berkat

Hadis > Akidah > Akhlak > 3 Amalan Yang Berkat 

Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :

"Manakah amal yang lebih utama?" Beliau menjawab,:"Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah." 

 ( Riwayat Bukhari )
 


Huraian
 
   Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. 

   Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. 

   Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk(neraka).

Telegram Kuiz Interaktif Geografi

     <<< Join Link >>>