3 Oktober 2011

Diseru Pintu Syurga

Hadis > Akidah > Usuluddin > Pintu Amal Kebajikan

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : 

“Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah.  
Maka berkatalah Abu Bakar: 
 “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.” 

(Hadis Riyawat Al-Bukhari & Muslim)


 Huraian

    Sesiapa yang melakukan amal kebajikan dalam apa jua bentuk maka di akhirat kelak seluruh pengawal-pengawal pintu syurga, masing-masing mempersilakan masuk orang-orang yang melakukan amal kebajikan ini melalui pintu yang dijaga mereka dan ada juga segolongan orang yang mendapat penghormatan untuk memasuki kesemua pintu-pintu kebajikan.

Tukang Tilik

Hadis > Akidah > Akhlak > Larangan Mempercayai Tukang Tilik

Dari Aisyah r.a katanya:

"Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih." 

(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian
 

1. Tukang tenung dikenali juga dalam masyarakat hari ini dengan istilah ‘orang pintar’, paranormal ataupun tukang ramal nasib yang dipercayai dapat mengetahui nasib seseorang atau perihal ghaib lainnya.
 

2. Sesungguhnya pengetahuan terhadap perkara ghaib adalah termasuk hal yang menjadi rahsia Allah. Sesiapa yang berkeyakinan bahawa dirinya atau orang lain boleh menguasai perkara ghaib adalah termasuk dalam perbuatan syirik kerana adanya ketergantungan kepada yang selain Allah.
 

3. Allah telah berfirman yang maksudnya:”Katakanlah,"Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah", dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan. (an- Naml : 65).
 

4. Sebagai umat Islam kita tidak harus mempercayai atau membenarkan apa yang dikatakan oleh tukang ramal kerana sesuatu yang mereka katakan mengenai hal-hal yang ghaib itu hanya didasarkan atas perkiraan belaka, atau dengan cara mendatangkan jin-jin untuk meminta pertolongan kepada jin-jin tersebut sesuai dengan apa yang mereka inginkan.
 

5. Rasulullah SAW bersabda : 'Sesiapa yang mendatangi 'arraaf' (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama empat puluh hari." (Muslim).

Kemurkaan Allah

Akidah > Akhlak > Bersua Dalam Murka

Dari Abdullah r.a katanya,:

Rasulullah s.a.w bersabda:"Siapa yang mengambil harta orang Islam dengan sumpah palsu, nescaya orang itu akan menemui Allah sedangkan Allah marah kepadanya."

(Riwayat Hadis Al-Bukhari)


Huraian
 
   Manusia, apapun perbuatannya, pasti akan bertemu dengan Allah S.W.T. Perjalanan menuju Allah, bukanlah perjalanan biasa sebagaimana perjalanan lahiriah dari satu tempat ke tempat lain. Perjalanan menuju Allah memerlukan persiapan dan bekalan yang cukup. Manusia yang baik amalannya akan menemui Allah dalam keadaan yang cukup selesa dan bahagia, sebaliknya pula orang yang buruk amalannya semasa di dunia. Mereka bakal menemui Allah dengan perasaan gerun dan takut. 
   
   Sesungguhnya Allah S.W.T amat murka terhadap sesiapa sahaja yang melakukan dosa dan kejahatan kerana ia merupakan perbuatan yang melambangkan penentangan terhadap perintah-Nya. Justeru, tidakkah kita merasa malu jika di akhirat kelak kita datang menghadap Tuhan tetapi dalam keadaan diri bergelumang dengan dosa dan kehinaan. Maka untuk mengelaknya jadikanlah hidup kita bermakna di dunia dan bererti di akhirat, kenanglah wajah Allah yang senantiasa kita harap untuk dapat melihatnya di syurga kelak sebagai balasan dari pemanfaatan hidup kita di maya pada ini. 

1 Oktober 2011

Bersyukur

Hadis > Akidah > Usuluddin > Bersyukur
 
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

 “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.”

(Riwayat Hadis At-Tabrani)


Huraian
 
Pengajaran Hadith:
 
i) Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang.
 
ii) Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.
 
iii) Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.

iv) Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah kerana tujuan seseorang itu diambil berkhidmat adalah untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya ia dapat memberikan khidmat yang memuaskan kepada orang ramai dan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.

Anak Kunci Syurga


Hadis > Ibadah > Solat > Dua Waktu Yang Perlu Diawasi
Dari Jabir r.a , katanya: Rasul s.a.w bersabda: 

“Anak kunci syurga ialah sembahyang….” 

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)


 Huraian
 
1. Syurga adalah destinasi terakhir perjalanan hidup seseorang
 
2. Solat 5 waktu selain solat sunat adalah amal soleh yang melayakkan memasuki syurga selain mengucap 2 kalimah syahadah
 
3. Jadi, jagalah solat sebaik mungkin dan nasihatlah kepada keluarga agar tidak lalai daripada mengerjakannya walau sesibuk mana kerja kita di dunia ini.

Galakan Berdoa

Hadis > Akidah > Akhlak > Galakan Berdoa

Hadith : 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Doa itu ialah ibadat.”

(Hadis Riwayat Bukhari)



Huraian
 
1. Doa adalah Istiksaat (memohon pengampunan dan pertolongan) dan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat memberikannya.
 
2. Orang yang berdoa hendaklah melahirkan kehinaan dan kerendahan diri serta menyatakan hajat dan tunduk kepada Allah sebagai menunjukkan bahawa kita berhajat kepada Allah untuk memperolehi sesuatu yang kita kehendaki.
 
3. Doa adalah suatu ibadat yang sangat penting kedudukannya dan sangat mahal nilainya bahkan ia adalah pintu yang paling utama daripada pintu-pintu ibadah yang lain dalam meperhambakan diri kepada Allah.
 
4. Apabila seseorang itu berdoa maka hendaklah ia melakukannya dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab-adabnya. Dengan itu barulah doanya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. 

Kemuliaan Perempuan

Hadis > Akidah > Akhlak > Kemuliaan Perempuan 

 Daripada Aisyah r.a, dari Nabi S.A.W baginda telah bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Tirmidzi)


Huraian
 
1. Perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.
 
2. Kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.
 
3. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.
 
4. Kata orang ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’. Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.
 
5. Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Telegram Kuiz Interaktif Geografi

     <<< Join Link >>>