Halaman

16 November 2011

Menyembunyikan Ilmu

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.”

(Hadis Riwayat Abu Daud & At-Tirmidzi )



Huraian

1. Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Allah S.W.T telah berfirman: "... nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." (Al Mujaadalah [58]:
 
2. Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan
 

3. Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.

Hadis > Akidah > Akhlak > Menyembunykan Ilmu 

Kesan Istigfar

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.” 

(Hadis Riwayat Abu Daud )


Huraian

1. Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda merupakan seorang rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil.
 
2. Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadnya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.
 
3. Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku.

Hadis > Ibadah > Akidah > Kesan istighfar 

Berkumur Sebelum Solat

Diriwayatkan daripada Suwaid bin al-Nu’man r.a:

   "Pada tahun terjadinya perang Khaibar aku pergi bersama Rasulullah SAW  hingga kami tiba di Shahba, sebuah tempat dekat Khaibar, tempat Rasulullah SAW mengerjakan solat Asar dan meminta makanan. Tidak ada makanan lain kecuali sawiq.  
Nabi SAW menyuruh mencucinya terlebih dahulu. Kami semua memakannya dan tidak lama kemudian Nabi SAW berdiri untuk solat Maghrib, berkumur-kumur dan kami mengerjakan hal yang sama lalu mengerjakan solat dengan tidak mengulang wudhu’.”

 (Hadis Riwayat Al-Bukhari) 


  
Huraian
 
   Makan dan minum bukanlah perkara yang membatalkan wudhu’ tetapi ia adalah perkara yang membatalkan sembahyang jika berlaku dalam sembahyang. Justeru bagi sesiapa yang mengambil makanan dan ingin mengerjakan solat dengan wudhu’ yang sedia ada digalakkan untuk berkumur terlebih dahulu sebagai langkah pembersihan mulut iaitu jika tidak berkesempatan memberus gigi kerana memberus gigi adalah cara yang terbaik untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi. 
  
  Rasulullah SAW dalam hal ini pernah bersabda yang maksudnya “Sekiranya tidak memberatkan umat ku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak (memberus gigi) setiap kali ingin bersolat.” (Bukhari) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Bukhari).

Hadis > Ibadah > Solat 

3 Oktober 2011

Diseru Pintu Syurga

Hadis > Akidah > Usuluddin > Pintu Amal Kebajikan

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : 

“Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah.  
Maka berkatalah Abu Bakar: 
 “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.” 

(Hadis Riyawat Al-Bukhari & Muslim)


 Huraian

    Sesiapa yang melakukan amal kebajikan dalam apa jua bentuk maka di akhirat kelak seluruh pengawal-pengawal pintu syurga, masing-masing mempersilakan masuk orang-orang yang melakukan amal kebajikan ini melalui pintu yang dijaga mereka dan ada juga segolongan orang yang mendapat penghormatan untuk memasuki kesemua pintu-pintu kebajikan.

Tukang Tilik

Hadis > Akidah > Akhlak > Larangan Mempercayai Tukang Tilik

Dari Aisyah r.a katanya:

"Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih." 

(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian
 

1. Tukang tenung dikenali juga dalam masyarakat hari ini dengan istilah ‘orang pintar’, paranormal ataupun tukang ramal nasib yang dipercayai dapat mengetahui nasib seseorang atau perihal ghaib lainnya.
 

2. Sesungguhnya pengetahuan terhadap perkara ghaib adalah termasuk hal yang menjadi rahsia Allah. Sesiapa yang berkeyakinan bahawa dirinya atau orang lain boleh menguasai perkara ghaib adalah termasuk dalam perbuatan syirik kerana adanya ketergantungan kepada yang selain Allah.
 

3. Allah telah berfirman yang maksudnya:”Katakanlah,"Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah", dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan. (an- Naml : 65).
 

4. Sebagai umat Islam kita tidak harus mempercayai atau membenarkan apa yang dikatakan oleh tukang ramal kerana sesuatu yang mereka katakan mengenai hal-hal yang ghaib itu hanya didasarkan atas perkiraan belaka, atau dengan cara mendatangkan jin-jin untuk meminta pertolongan kepada jin-jin tersebut sesuai dengan apa yang mereka inginkan.
 

5. Rasulullah SAW bersabda : 'Sesiapa yang mendatangi 'arraaf' (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama empat puluh hari." (Muslim).

Kemurkaan Allah

Akidah > Akhlak > Bersua Dalam Murka

Dari Abdullah r.a katanya,:

Rasulullah s.a.w bersabda:"Siapa yang mengambil harta orang Islam dengan sumpah palsu, nescaya orang itu akan menemui Allah sedangkan Allah marah kepadanya."

(Riwayat Hadis Al-Bukhari)


Huraian
 
   Manusia, apapun perbuatannya, pasti akan bertemu dengan Allah S.W.T. Perjalanan menuju Allah, bukanlah perjalanan biasa sebagaimana perjalanan lahiriah dari satu tempat ke tempat lain. Perjalanan menuju Allah memerlukan persiapan dan bekalan yang cukup. Manusia yang baik amalannya akan menemui Allah dalam keadaan yang cukup selesa dan bahagia, sebaliknya pula orang yang buruk amalannya semasa di dunia. Mereka bakal menemui Allah dengan perasaan gerun dan takut. 
   
   Sesungguhnya Allah S.W.T amat murka terhadap sesiapa sahaja yang melakukan dosa dan kejahatan kerana ia merupakan perbuatan yang melambangkan penentangan terhadap perintah-Nya. Justeru, tidakkah kita merasa malu jika di akhirat kelak kita datang menghadap Tuhan tetapi dalam keadaan diri bergelumang dengan dosa dan kehinaan. Maka untuk mengelaknya jadikanlah hidup kita bermakna di dunia dan bererti di akhirat, kenanglah wajah Allah yang senantiasa kita harap untuk dapat melihatnya di syurga kelak sebagai balasan dari pemanfaatan hidup kita di maya pada ini. 

1 Oktober 2011

Bersyukur

Hadis > Akidah > Usuluddin > Bersyukur
 
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

 “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.”

(Riwayat Hadis At-Tabrani)


Huraian
 
Pengajaran Hadith:
 
i) Bersyukur adalah satu tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang.
 
ii) Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.
 
iii) Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.

iv) Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah kerana tujuan seseorang itu diambil berkhidmat adalah untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya ia dapat memberikan khidmat yang memuaskan kepada orang ramai dan untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran negara.

Tolak Masa - Matematik Tahun 5